3 Risiko Tanah Lot Lidi Dan Kenapa Ianya Tak Boleh Dihibahkan

3 Risiko Tanah Lot Lidi Dan Kenapa Ianya Tak Boleh Dihibahkan

Akibat harga rumah yang semakin mahal, sebahagian daripada masyarakat mengambil jalan pintas dengan membeli sebidang tanah dan membina rumah di atasnya. Namun perlu berhati-hati dengan si penjual tanah dan memastikan terlebih status tanah yang dibeli tersebut.

Jangan sampai terbeli tanah lot lidi walaupun secara zahirnya harga tanah tersebut kadangkala jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Apa Maksud Tanah Lot Lidi?

Secara umumnya tanah lot lidi merujuk kepada tanah lot yang masih berstatus pertanian dan belum mempunyai geran individu berstatus bangunan tetapi dijual sebagai lot bangunan, hanya berdasarkan kepada pelan lakaran yang belum diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Walaubagaimanapun, tanah lot lidi ini hakikatnya hanyalah istilah yang digunakan oleh orang awam kerana istilah ini tidak terdapat dalam Kanun Tanah Negara.

Pemilik tanah yang menjual tanah ini kebiasaannya ingin membuat keuntungan segera dengan mengelakkan proses penukaran status tanah pertanian tersebut kepada tanah pembangunan. Mereka akan mengupah jurukur tanah untuk membuat pecahan lot-lot banglo di atas tanah tersebut tanpa membuat Permohonan Kebenaran Merancang (DO) kepada pihak majlis daerah.

Jom kita tengok pula 3 risiko membeli tanah lot lidi.

1. Tiada Nama Dalam Geran

Apabila membeli tanah lot lidi, dokumen yang menunjukkan kita adalah salah seorang pemilik tanah tersebut hanyalah melalui Surat Pemegang Amanah sahaja.

Sebagai contoh, di atas tanah tersebut terdapat 10 orang pemilik yang telah membeli tanah tersebut, tetapi hanya seorang sahaja yang akan menjadi Pemegang Amanah bagi kesemua pemilik-pemilik lot lidi; dan nama Pemegang Amanah itu sahaja yang akan didaftarkan di dalam geran.

Jadi baki 9 orang pemilik lagi tiada nama mereka di atas geran tanah tersebut.

2. Sukar / Tak Boleh Dijual Beli

Sekiranya salah seorang daripada pemilik tanah tersebut ingin menjual bahagian lotnya kepada orang lain, tiada prosedur undang-undang yang sah boleh membenarkan proses jual beli tersebut melainkan mereka terpaksa membuat Surat Pemegang Amanah baru yang memerlukan Pemegang Amanah sendiri untuk melaksanakannya.

Kalau pemegang amanah tidak mahu? Maka tak bolehlah berlaku proses jual beli tersebut.

3. Tidak Boleh Diwarisi Dan Dihibahkan

Jika kita sebagai salah seorang pemilik tanah lot lidi tersebut meninggal dunia, keluarga kita tidak dapat mewarisi tanah tersebut kerana nama kita sebagai pemilik tidak didaftarkan di dalam geran tanah.

Waris-waris pun tidak akan boleh memulakan apa-apa prosedur tuntutan harta pusaka terhadap tanah tersebut kerana secara teorinya, ianya adalah milik pemegang amanah.

Dan disebabkan tiada nama dalam geran juga, pemilik semasa hayatnya tidak boleh menghibahkan tanah tersebut kepada sesiapa pun. Ini kerana hibah adalah pemberian sesuatu harta yang dimiliki kepada seseorang.

Salah satu rukun hibah yang mesti disempurnakan untuk hibah itu sah daripada sudut syariah adalah, daripada sudut pemilikan harta yang ingin dihibahkan tersebut.

Masalah bagi tanah lot lidi ini ialah tiada sebarang bukti atau dokumen yang kukuh yang menyatakan tanah tersebut milik si pemilik lot kerana di dalam geran hanya nama pemegang amanah.

Kesimpulannya, berhati-hatilah dalam membuat apa-apa transaksi jual beli berkaitan hartanah. Rujuk kepada mereka yang pakar.

Lihat senarai tanah/lot untuk dijual disini

Open chat
%d bloggers like this: