Nak tahu proses permohonan Pinjaman Perumahan Kerajaan (LPPSA)? Ini cara-caranya
1. Adakah saya layak untuk memohon LPPSA?
Pertama, semak kelayakan pinjaman anda. Kelayakan pinjaman dikira berdasarkan pendapatan bersihsetelah dihitung semua komitmen. Pendapatan bersih ialah gaji pokok dan elaun tetap ditolak potongan wajib yang diambil kira oleh LPPSA. Berikut ialah senarai elaun tetap yang diambil kira tersebut:
- Imbuhan Tetap Perumahan (ITP)/ Elaun Perumahan Wilayah (EPW) atau yang setara dengannya
- Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA)/ Imbuhan Tetap Keraian (ITK) atau yang setara dengannya
- Bantuan Sara Hidup (COLA)/ Bayaran Insentif Wilayah (BIW) atau yang setara dengannya;
- Imbuhan Tetap Jawatan Utama (ITJU);
- Elaun Memangku
Sebagai panduan:
Pembiayaan pertama:
Ansuran bulanan tidak melebihi 60% gaji pokok dan elaun tetap, dan jumlah hutang tidak melebihi 80% pendapatan bersih. Gaji bersih untuk semua peminjam sekurang-kurangnya 20% pendapatan kasar.
Pembiayaan kedua:
Ansuran bulanan tidak melebihi 50% gaji pokok dan elaun tetap, dan jumlah hutang tidak melebihi 80% pendapatan bersih. Gaji bersih untuk semua peminjam sekurang-kurangnya 20% pendapatan kasar.
Bil | Pendapatan Bersih | Kelayakan Maksimum |
1 | 6,500 ke atas | 750,000 |
2 | 6,000 | 720,000 |
3 | 5,700 | 680,000 |
4 | 5,500 | 650,000 |
5 | 5,000 | 600,000 |
6 | 4,700 | 560,000 |
7 | 4,500 | 540,000 |
8 | 4,300 | 510,000 |
9 | 4,000 | 470,000 |
10 | 3,800 | 450,000 |
11 | 3,500 | 420,000 |
12 | 2,900 | 340,000 |
13 | 2,300 | 270,000 |
14 | Sehingga 1,700 | 200,000 |
Sumber: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)
Jadual kelayakan ini tidak terpakai bagi kumpulan berikut:
- Anggota pentadbiran Persekutuan – Tertakluk kepada Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980
- Anggota pentadbiran Negeri dan ahli Dewan Undangan Negeri – Tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri dari semasa ke semasa
- Hakim Mahkamah Persekutuan/ Rayuan/ Tinggi – Tertakluk kepada Akta Saraan Hakim 1971
Jadual kelayakan ini hanya sebagai rujukan dan had kelayakan pembiayaan sebenar adalah seperti yang diluluskan oleh LPPSA. Ia tetap bergantung kepada harga rumah yang ingin dibeli dan jenis pembiayaan yang ingin dibuat.
Tip: Amaun kelayakan tidak menentukan anda mampu membeli rumah tersebut. Buat penilaian tahap kewangan masing-masing terlebih dahulu sebelum memohon pembiayaan.
Selain pinjaman LPPSA, anda juga boleh membuat permohonan pembiayaan bank. Hitung anggaran kelayakan pinjaman perumahan anda menggunakan kalkulator kami.
2. Kenal pasti rumah yang ingin dibeli dan pembiayaannya
Bagi memastikan anda memohon pembiayaan yang betul, kenal pasti jenis rumah yang ingin dibeli kerana syarat pembiayaan yang ditawarkan adalah berbeza mengikut jenis pembiayaan. Terdapat tujuh jenis pembiayaan yang ditawarkan iaitu:
Jenis 1: Pembelian rumah kediaman yang telah siap
Jenis 2: Membina rumah di atas tanah sendiri
Jenis 3: Pembelian rumah kediaman yang sedang dibina
Jenis 4: Membeli tanah untuk tujuan membina rumah
Jenis 5:Menyelesaikan hutang pinjaman perumahan dengan bank/institusi kewangan
Jenis 6: Membina rumah kediaman di atas tanah yang dibeli melalui pinjaman BPP (Bahagian Pinjaman Perumahan) atau LPPSA
Jenis 7: Membuat kerja ubah suai rumah/ petak rumah kediaman
Mengapa perlu memilih jenis pembiayaan yang tepat?
Ini akan memudahkan proses dokumentasi permohonan. Setiap jenis pembiayaan mempunyai syarat yang berbeza dan dokumen yang berbeza untuk dihantar. Ingat, bukan semua pembiayaan akan diluluskan 100% dengan amaun kelayakan anda. Jangan terkejut jika nilai pembiayaan yang diluluskan mungkin berbeza dengan amaun kelayakan anda.
3. Bagaimana untuk mohon LPPSA?
Setelah selesai membuat semakan kelayakan pinjaman dan menentukan jenis pembiayaan yang ingin dibuat, anda boleh membuat permohonan dengan LPPSAmelalui 2 cara iaitu:
Permohonan secara dalam talian
- Penjawat awam
- Polis
- Tentera
- Badan berkanun
- Kerajaan tempatan
Permohonan dengan mengisi borang
- Borang permohonan perlu dimuat turun, dicetak, diisi dengan lengkap dan dikemukakan kepada pihak LPPSA
- Berikut merupakan dokumen yang perlu dicetak dan boleh didapati di laman web LPPSA:
- Borang Permohonan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam
- Aqad Perlindungan Takaful (untuk pemilihan Panel Takaful sahaja)
- Surat Persetujuan Penyelesaian Hutang Pembiayaan Perumahan Sektor Awam
- Dokumen-dokumen sokongan berdasarkan senarai semak pinjaman
4. Dah mohon, tunggu borang diproses untuk kelulusan
Pasti ramai yang menjangka proses ini memakan masa yang lama. Sebenarnya, piagam LPPSA menggariskan proses ini hanya mengambil masa yang singkat! Tempoh masa kelulusan pinjaman perumahan kerajaan yang lengkap adalah seperti berikut:
● Pinjaman pertama: 3 hari bekerja dari tarikh permohonan diterima
● Pinjaman kedua (pembelian harta kedua): 5 hari bekerja dari tarikh permohonan diterima
● Pinjaman kedua (ubahsuai): 21 hari bekerja dari tarikh permohonan diterima
● Pinjaman jenis 6: 21 hari bekerja dari tarikh permohonan diterima
Tempoh kelulusan ini bergantung pada penyediaan dokumen yang lengkap. Tidak ada gunanya menjangka kelulusan segera jika dokumen yang dihantar tidak menepati kehendak LPPSA.
5. Cagaran harta kepada LPPSA
Semua hartanah yang mendapat pembiayaan akan dicagarkan kepada LPPSA. Bagi proses ini, anda memerlukan peguam bagi menyelesaikan proses ini. Anda perlu melantik seorang peguam daripada senarai peguam yang berdaftar dengan LPPSA. Senarai ini telah disediakan dan dikategorikan mengikut negeri.
Sebelum anda menyelesaikan proses ini, terdapat dua syarat yang perlu dipatuhi iaitu:
- Anda mengesahkan penerimaan tawaran pembiayaan LPPSA dengan mengembalikan Memorandum Penerimaan (Memorandum of Acceptance) kepada Lembaga
- Peguam mengemukakan dokumen cagaran yang lengkap kepada LPPSA
6. Perlindungan takaful dan insurans bagi pinjaman perumahan
Pemohon pinjaman perumahan kerajaan diwajibkan mengambil takaful bagi yang memilih Skim Pembiayaan Perumahan Sektor Awam Secara Islam (SPPSAi) dan insurans bagi yang memilih Skim Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (SPPSA). Ia berkuatkuasa mulai tarikh kelulusan pembiayaan tertakluk kepada Borang Cagaran telah ditandatangani antara pembeli dan LPPSA (Power of Attorney Execution).
Bagi permohonan pembiayaan bersama, salah seorang pemohon perlu mengambil takaful/insurans perlindungan bagi pinjaman perumahan manakala seorang lagi perlu mengambil insurans bagi perlindungan rumah kediaman. Ia berkuatkuasa mulai tarikh pengeluaran bayaran sekurang-kurangnya 95% oleh LPPSA atau bila rumah siap sepenuhnya.
7. Bila LPPSA akan mengeluarkan bayaran?
Setelah selesai semua proses di atas, LPPSA akan mengeluarkan wang pembiayaan kepada sama ada Akaun Pemajuan Perumahan (Housing Development Account atau HDA), Client Account, penjual, kontraktor atau institusi kewangan yang memegang gadaian hartanah, bergantung pada kategori pembiayaan yang dibuat oleh pemohon. Setiap jenis perumahan mempunyai syarat tertentu sebelum wang pembiayaan dikeluarkan oleh pihak LPPSA.
Sekian gambaran ringkas proses memohon pinjaman LPPSA. Apa pun, hubungi LPPSA untuk sebarang maklumat lanjut dan terkini mengenai proses permohonan. Semoga perkongsian ini bermanfaat. Kepada yang memohon, semoga berjaya!